Wednesday, October 9, 2013

CERITA ZIARAH PAGI YANG SEKEJAP

Semenjak Muz "dijumpai" lebihkurang 5 tahun dulu, ada 3 kali rasanya Temuk 
bertemu dengan dia. Sekali masa afternoon tea di rumah kawan, Pak Mail, di Bukit Jelutong. Dua kali lagi berjumpa masa kenduri kahwin anak kawan juga.

Pak Mail, Muz dengan Temuk dulu sama-sama sekolah di Anglo Chinese School (ACS) 
Teluk Anson, sekarang bernama Teluk Intan. Dari Remove Class sampai Form 3 (1960-1963).   Temuk dengan Pak Mail sampai ke Form 5 (1965) di ACS tu.

Memang dah lama berhajat nak ziarahi Muz. Di tempat kerjanya, sebab 
tak mahu ganggu keluarganya. Juga, kena sekejap saja. Tak mahu ganggu kerjanya. 

Juga penting, kena ziarah tanpa notis! Satu lagi, kena pergi 
pagi. Sebab Muz kerja pagi. Sampai jam 11 saja. Begitulah Temuk difahamkan.

Lepas subuh  8.10.13 kelmarin, Temuk terus ke mesjid negeri di Shah Alam. 
Alhamdulillah, trafik tak macet sangat. Jam 7.35 sudah tiba di masjid gagah-indah ni.

Mesjid Negeri Selangor di Shah Alam
 

Kira-kira jam 8.15 Pak Mail sampai di masjid. Dengan supirnya yang memang 
pandai cari jalan, tanpa guna GPS (Temuk kata, yang guna GPS = Geng Pemandu Sesat!). 

Perjalanan ke Kg. Jawa, Kelang, tempat Muz bekerja memakan masa 
kira-kira setengah jam. Masa tu jalan sesak. 

Kami tiba di gerai tempat Muz bekerja kira-kira jam 8.45 pagi.Macam-macam makanan, 
panas-panas, ada di situ. Pelan kami, "order" dan makan dulu. Usah kacau Muz. 

Masa tiba memang kami nampak dia dari jauh, di seksyennya tersendiri yang terlindung sikit. 

Pelannya juga, lepas makan, baru jumpa Muz. Tak mahu jumpa awal sebab 
tak mahu ganggu dia kerja. Juga, kami tak mahulah (bukannya tak sudi!) 
dia bayar apa yang kami order. Kata rakan-rakan yang pernah ke situ dulu, memang 
dia yang hendak sangat membayar. Tak acilah rasanya.


Pak Mail dengan bihun dan telur (baru) gorengnya! Supir (baju biru) dengan Temuk, order roti canai (panas)!

Rupa-rupanya bila Muz keluar dari seksyen dia bekerja, dia nampak kami!


Guguplah dia minta maaf pasal tak nampak. Bukan salah dia. Salah kamilah yang 
sengaja tak jumpa dia dulu, walau bersebab. Nampak tak seronok dia bila 
kami kata saja nak intai dia sekejap + kata kami sudah beres soru .... + sudah bayar! 

Dia bersungguh-sungguh suruh kami order makanan lain pula. "Mana boleh, 
mana boleh....... aku belanja.... aku belanja," kata dia. Memang jelas ikhlasnya!

Hihi, mana boleh, Muz. Perut masing-masing sudah sendat!

"Paling kurang, tambah minum. Tambah.... tambah. Ini aku belanja,"  desaknya.

Kemudian dia cepat-cepat ke dalam. Buatkan Temuk dengan Pak Mail nescafe. Dia 
dah tahu apa kami minum tadi bila tengok bekas-bekas pada gelas kosong kami! 
Kerja "buat air" memang kepakaran Muz, atau Atuk, nama glamour dia di Kg. Jawa.


Pak Mail dengan Temuk kena "double dosage" nescafelah 
pagi tu. Supir mengaku kalah bila dipelawa minuman tambahan.

Jadilah, dapat bersembang sekejap. Lepaskan hajat nak ziarahi dia. Penuhi niat 
nak singgahi tempat kerjanya. Nak lepaskan rindu pada kawan lama, yang sangat sedikit 
bilangan orangnya yang "dijumpai" di sana sini pada penghujung hayat ini!

Alahai, ini sekeping saja gambar yang ada Temuk. Sudah jadi hampir halimunan, dek pancaran matahari yang sudah memulakan tugas hariannya.

Temuk amat setuju dengan apa yang Pak Mail katakan semasa perjalanan balik 
ke masjid negeri untuk ke kereta Temuk.  Dia kata, antara perkara yang beri keceriaan 
hati  kita pada tahap umur begini,  sementara Allah beri kemampuan = "jalan-jalan makan angin"
+ "jumpa-jumpa kawan lama".  InsyaAllah ada manfaatnya.

14 comments:

Ismail aka Pak Mail said...

Pak Temuk,

Assalamualaikom. Memang benar kata Pak Mail rakan Pak Temuk itu. Sementara badan masih kuat dan bertenaga serta berkemampuan alangkah baiknya dapat jalan-jalan makan angin dan jumpa kawan-kawan lama. Dapat juga menggembirakan diri sendiri. Saya dapat merasai bagaimana girangnya hati Pak Temuk apabila dapat bertemu kawan-kawan lama.

ngasobahseliman said...

Salam Pak Temuk. Ada satu Ust kata Rasulullah saw sering mencari sahabat untuk makan sama.Makan dalam Jemaah bawa barakah.Kalaulah saya ada peluang macam pak Temuk...

Umm AA said...

Assalam pak temuk,
Seronok membaca kisah nak bertemu teman lama nie..sian pak muzz nak blanjer tak tercapai..dia meniaga situ yer?
Agaknya diusia emas, selain dari mengerjakan ibadah, dpt bersama2 kawan, ade teman berbicara ..itulah yg menyenangkan hati kan pak temuk..moga2 selalulah ade pertemuan begitu..inshaallah.

Nizam.Ariff said...

Seolah olah masa mengundur kebelakang bila berjumpa kawan kawan lama...

Temuk said...

PAK MAIL
Wa'alaikumussalam Pak Mail. Saya pasti Pak Mail dapat merasakan kegembiraan saya berjumpa rakan lama tu, sebab Pak Mail sendiri memang rajin cari dan temui rakan-rakan lama. Betul, kan? Alhmadulillah, terutama rakan-rakan yang uzur, kalau kita tahu di mana mereka, memang patut kita ziarahi. Cuma, sekarang ini ada pula isu adakah famili rakan yang sakit menerima penziarah. Sebab, dengan penyakit atau keadaan tertentu, ada famili yang lebih suka penziarah hanya dari kalangan saudara atau ahli keluarga sahaja. Cuba tanya dululah ya tak, Pak Mail?

Temuk said...

NGASOBAHSELIMAN
Wa'alaikumussalam. Wah, baguslah kalau jalan-jalan cari kawan + cari makan (secara berkumpulan) itu satu sunnah. Dapat pahala, dapat makan, dapat bersembang + dapat hilangkan kerinduan. Benarlah tu ngasobahsliman, orang perempuan susah sikit nak merono-merene menjelajahi rakan. Selain perlu ada kemampuan memandu kereta + keizinan suami, perlu juga dipastikan masanya ada, apa lagi jika melibatkan perjalanan jauh.

Temuk said...

UMMUAIDAN
Wa'alaikumussalam ummuaidan.

Alhamdulillah, Allah mengurniakan kemampuan mencari rakan + mengurniakan kita rasa seronok bila berjumpa rakan. Semuanya rezeki dariNya. Ada rakan-rakan yg "dijumpai", setelah lama tak bersua, dapat terus dengan mudah kita hubungi melalui gajet2 moden / media sosial hari ini. Tapi tak semua rakan begitu. Hihi, Muz dapat juga belanja kami nescafe. Itu yg jadi 2nd. round minum pagi tu! Dia kerja kat situ. Walaupun sebenarnya dia sudah lama nak bersara tapi dia kesihankan tuan kedai yang minta tolong juga dia membantu. Orang di situ pun, yang mengenali dia sebagai "Atuk", memang kata tak seronok bila pakar pembancuh minuman bercuti panjang tak lama dulu kerana sakit.

Temuk said...

NIZAM.ARIFF
Ya, Nizam. Kita undurkan masa bertapak-tapak-tapak...... jauh ke belakang. Kalau tak begitu, tak dapatlah kita tayangkan cerita-cerita lama dulu, hihi. Bila kita sakit "rindu", duduklah dengan yang dirindu.... tayangkan cerita-cerita lama....., insyaAllah sakit terubat. Sakit begitu tak boleh makan panadol, kok.

Unknown said...

Tanam manggis di ujung hulu,
Tanam mempalas di tepi beranda;
Salam manis terapung lalu,
Salam ku lepas mencari Ayahanda.

Tamat berlari menggigil paha,
Badan bernyawa masih berharapan;
Selamat Hari Raya 'Aidil Adha,
Berkorban jiwa kasih tersimpan....^^,

ahmad humairi said...

Assalamualaikum,

Salam Aidil Adha.
Tak nyembelih ke kali ni.
Kulu keyo...bawak je piso...golok ke...kalo ade oang melapah bleh join skali....

....bertemu di usia begini dah tentu bertanyakan berapa orang cucu dah....cicit??

insan marhaen said...

Betul kata Pak Mail tu. IM merasakan seperti itu sekarang ini...

Temuk said...

AHMAD HUMAIRI
Wa'alaikumussalam, Cikgu. Semoga seluruh keluarga bahagia menyambut aidil-adha.

InsyaAllah nyembelih. Tapi wakilkan je kat oghang. Tuko-tuko tempat. Sesekali kite buat luo negeghi, hihi (tapi ada ustaz beritahu ada hadis yg jelaskan, yg afdhal di qariah kita sendiri). Di tempat sendiri, kumpulan sendiri, kekadang terasa tak kuat pula badan nak buat sama-sama, tak kuat hati tengok persekitaran, juga tak tajam parang dgn golok...

Betullah tu, dalam usia begini, soalan berapa cucu (cicit belum ada yang punyai) = soalan cepu emas. Kekadang kita terkejut sebab dalam jawapan, bilangan yang disebut penjawab terlalu ramai, atau terlalu sikit!

Temuk said...

IM
Kalau ramai adik beradik, seronok juga, sebab mereka juga boleh jadi geng tua kita. Kalau tidak, kena cari kawan2 lamalah nampaknya. Memang baguslah kalau mereka masih boleh ditemui dan sihat untuk sama2 duduk berbual. Lagi seronoklah pula jika dengan mereka boleh diatur aktiviti2 tertentu, termasuk malancong ke mana2.

Temuk said...

UMMI KAMI

Balam berkampung di rimba kelekatu
Tupai malam melanda kerubut
Salam terapung dah tiba di pintu
Wa'alaikumussalam,Ayahanda menyambut.

Kepala serban bunganya selasih
Pelaga seperti beriya menanda
Segala qurban buktinya kasih
Semoga diberkati raya Anakanda.