Dalam hendak mudahkan hidup, dengan antaranya memangkas
dan membuang pokok-pokok yang sedia ada sedikit demi sedikit,
dan membuang pokok-pokok yang sedia ada sedikit demi sedikit,
Pak Temuk cuba pula (!) hobi baru, menanam tin. Ada
Pak Temuk ceritakan sebelum ini. Pelannya sekarang: berhenti
"pemerolehan" sesudah pokok ke-12.
Ini nak bercerita sikit kemajuan hobi baru. Cerita bergambar.
Selepas lebihkurang dua bulan dipasukan, pokok tin mula membesar. Ketinggian asal, lebihkurang setinggi sekaki. Kini ada yang mencecah lima kaki, dan bercabang-cabang. |
Ada yang dipolibegkan. Nak elakkan hujan, takut daun berkarat, guna kaedah "kelambu". Lebih murah (malulah!) daripada bangunkan "rumah hijau". Masalahnya, penat pasang kelambu bila dengar guruh di langit! Bila pokok sudah agak besar, kelambu pun disimpan. Memang banyak daun jadi berkarat! |
Di sebalik gambar-gambar di atas, Pak Temuk nak sebut
pengalaman berharga yang diperolehi: menyediakan medium (campuran tanah dll), membaja pokok, mengairi pokok, membungkus putik, dan
pengalaman mengawasi musuh-musuh pokok.
Ada juga si kecil yang berlagak matang. Juga yang besar tak matang, beraksi matang! |
Bukti ketakmatangan kedua-duanya. Ingatkan yang lebih besar itu benar-benar meranum. Rupa-rupanya, kata para sifu tin, ia bukan masak. Ia (hihi!) membusuk! |
Saja untuk rekod, yang beratnya 22 gm itu bernama
Matsui Duphine. Yang 29 gm, Jumbo TGF. Belum sempat baca asal
usulnya. Masa beli anak benih pun, pakai beli saja.
Lihatlah di bawah ini, wajah kedua-duanya setelah dibelah.
Dari cerita para sifu tin, hujan yang banyak kebelakangan ini boleh menjejaskan kuantiti dan kualiti buah.
Maka berbisiklah napsu, Matsui Duphine dengan Jumbo TGF
sepatutnya lebih merah dalamnya, juga lebih manis rasanya,
jika tiada pengaruh sang hujan.
Mujur akal cepat meningkah. Untuk percubaan awal ini,
itulah yang Allah hendak beri sebagai satu nikmat. Memadailah!
Pak Temuk jadi amat teringat.
Surah Ar-Rahman, ayat 10-13, yang maksudnya:
Dan Allah telah meratakan bumi untuk makhluk(Nya). Di bumi itu ada buah-buahan dan pohon kurma yang mempunyai kelopak mayang. Dan biji-bijian yang berkulit dan bunga-bunga yang harum baunya.
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?
27 comments:
Pak Temuk,
Assalamualaikom. Ini suatu proses pembelajaran dan pengkajian. Di atas tiap2 ilmu yg dipelajari lalu kita kembalikan pujian kepada Rabb niscaya Allah akan angkat seseorang itu ke martabat yg tinggi di sisinya. In syaa Allah..
PakMail
Wa'alaikumussalam, PakMail. InsyaAllah. Ilmu kita adalah ilmu pemberian Allah. Amat wajarlah kepadaNya kita berikab kepujian dan penghargaan. Semoga sihat sejahtera sentiasa, PakMail.
Assalam Pak Temuk... lama menghilang sebab membela tin ya.. banyak koleksinya.. 12 variety tu... hobi yang memberi banyak ilmu..
suka suka
Wa'alaikumussalam, suka suka. Lama menghilang sebab banyak masa tinggal di fb. Lebih menulis di situ dan juga dalam fb kumpulan, "Malaysia Gardeners". Pak Temuk tetap lebih bercerita pasal pokok juga. Ya, hobi baru ini memberi ilmu baru yang menarik juga.... dan ramai kenalan baru yang meminati tanam-tanaman, khususnya tin.
Tergamam...sedih, takut...sbb pertanyaan demi pertanyaan bertalu talu menghentak dada...sesak nak jawabnya...semoga kita bukan dari golongan yg mendustakan nikmatNya.
As Salam Pak Temuk,
setuju dengan pendapat Pak Temuk dan Pak Mail....Ilmu yang baik itu sekiranya ada kita berkongsi...semoga berpanjangan dan barokah...
Tertarik dengan hasilnya ...Subhanallah...
salam Pak temuk..
lama tak ke sini..
saya ingatkan buah Tin ni besar pokok nya.. tapi kecik je ye..
THUMBS UP!!
Nizam.Ariff
Memang boleh jadi kebas seluruh jasad dengan pertanyaan serupa yang bertalu-talu itu. Dalam tergamam...sedih...takut...dan terhentak dada serta tersesak fikiran hendak menjawabnya, jawablah juga, tidak mungkin ada apa juga nikmat Allah yang kita dustakan. Semoga kita berada di dalam jagaanNya sentiasa.
Bunda a.k.a KN
Wa'alaikumussalam. InsyaAllah, melalui media massa ini pun kita semua boleh berkongsi segala ilmu yang baik untuk manfaat bersama. Ya, semoga berpanjangan barokah pengongsian itu.
Subhanallah, dengan hasil dari hobi sedemikian mudah-mudahan dapat bertambahlah kesyukuran kita kepada Allah yang sebenarnya telah pun memberi kita pelbagai nikmat hidup.
Azian Elias
Wa'alaikumussalam, Yan. Terima kasih masih ingat mampir. Berdasarkan gambar-gambar dalam internet memang pokok-pokok tin boleh jadi besar macam juga pokok-pokok rambutan kita. Tapi mereka yang berladang tin biasanya akan memangkas pokok supaya senang diurus dan dituai buahnya. Bila dipasukan atau dipolibegkan sebenarnya pokok jadi "terbantut", akar tidak dapat meliar, dan hasilnya jadi terbatas. Pengusaha tin di Malaysia memang menanam atas tanah atau dalam palong konkrit yang besar, membolehkan pokok jadi lebih besar, banyak dahan, dan banyak buah.
Khai♥Rin : anies
Terima kasih beri THUMBS UP!! Kalau orang seberang, kira "jempolan"lah tu. Hihi. Bila pula Khai♥Rin nak menanam pokok tin? Atau lebih seronok bikin juadah di dapur, ya?
Assalamualaikum buat Ayahanda...apakhabar semoga sentiasa di dalam limpahan kasih sayang Allah SWT...aamiin
Tumbuh membiru kembang petunia,
Pesona persada kedidi bersidang,
Mepakak bumi orang menonton;
Sungguh terharu memang bahagia,
Kerana Ayahanda sudi bertandang,
Ke teratak Ummi mengarang pantun..
Galah sejengkal berikat rotan,
Pelam sedahan semakin menyula,
Menyapa jambangan buahnya kelami;
Tidaklah kenal dekat keraguan,
Dalam pertanyaan bermain di kepala,
Siapa gerangan orangnya 'Amie'... ^^,
Mepakak*menapak(typing error)
UMMI KAMI
..... bertandangnya ayahanda:
Tibanya biduanda membakar dedalu,
Mujur tak luka ketenun di sawang,
Malam berbayu wangian sama,
Rasa terpikat berulang-alik;
Tibanya ayahanda tak khabar dulu,
Mujur terbuka si daun lawang,
Di dalam mendayu nyanyian lama,
Hingga tak ingat rasa nak balik!
..... sudah sempatkah anakanda menziarahi "Amie's Little Kitchen" di salamisimon1.blogspot.com?
Biduanda berdua pedang dikalung,
Beli zaitun buah penyudah,
Sayang halwa si limaulah purut,
Apa lagi nak ditulis tinta;
Anakanda berdua penghidang ulung
Ummi berpantun, Amie berjuadah
Kenyang jiwa kenyanglah perut
Apa lagi ayahanda nak pinta?
Ummi Kami
Wa'alaikumussalam. Semoga Ummi sihat sejahtera dan di dalam peliharaan Allah sentiasa. Dan semoga terus melaut tinta, untuk melakar pantun-pantun yang segar bugar.
Ya ayat peringatan untuk kita ya Pak Temuk, supaya mensyukuri nikmat yang dijanjikan...moga akan ada yang lebih baik ...
sud@is
Alangkah baiknya jika kita berterusan tidak alpa, tidak lupa, dan tidak leka: bahawa apa, di mana, bilamana, bagaimana, semuanya bermula dari Allah Yang Agung dan akhirnya berbalik kepada-Nya juga. Selamat melangkah ke tahun 2015.
Kakak rasa bagaikan baru lagi disusun-susun dalam pasu sudah menghasilkan buah - masya-Allah seronoknya kakak tengok. Benarlah nikmat Allah terlalu banyak. Kalau tanam jagung mana mungkin dpt menuai gandum. Berkat rajin dapatlah hasilnya..
Untuk tidak mahu menyalahkan kuantiti hujan yang turun menjejaskan tumbesaran pokok, tak bolehkah diikhtiar cara lain.
Tanam di bawah teduhan dengan sistem saliran yang baik misalnya...
Kakzakie
Seronok dengan pengalamannya, kakzakie. Hasilnya tentulah juga menyeronokkan, walaupun tak seberapa. Namun, kuantiti dan kualitinya memang dijangkakan, sebab ini "first attempt.... first fruiting", hihi.
IM
Para sifu tin akui hujan yang banyak, yang amat mungkin pula bersifat "acidic" pengaruhi kesuburan pokok tin dan hasilnya. Daun2nya "karat", buah2nya kecil dan mudah jatuh semasa putik. Benar kata IM, untuk tanaman tin di negara kita, wajar ada struktur yang menghalang pokok daripada terkena hujan dengan begitu banyak, tetapi tetap memperolehi cahaya matahari. Saliran airnya juga mesti baik sebab tin tidak mahu air yang menakungi akarnya. Masalah saya, selain daripada memang tak mahu bermodal tambahan, juga tak saya gemari struktur2 tambahan sekeliling rumah.
Assalammualaikum Pak Temuk. Buah tin ni makan dgn kulitnya sekali ke?
-Hafidz-
Chip Hafidz
Wa'alaikumussalam. Maaf lambat menjawab. Yang Pak Temuk tahu biasanhya orang memang makan tiin dengan kulitnya sekali, baik tiin segar, apatah lagi yang sudah dikeringkan.
شركة مكافحة حشرات بالرياض
شركة مكافحة النمل الابيض بالرياض
شركة مكافحة الصراصير بالرياض
شركة مكافحة الفئران بالرياض
شركة مكافحة النمل الاسود بالرياض
air jordan
moncler
air jordans
golden goose outlet
golden goose
moncler
jordan 6
yeezy 350
yeezy shoes
jordan 11
goyard outlet
fear of god hoodie
palm angels outlet
hermes outlet
bape outlet
Post a Comment