Sengaja aku tahtakan kamu di celah-celah perdu si Kelat Paya. Sebenarnya aku tumpangkan! Supaya kamu dapat berteduh dari kepanasan tropika, yang mungkin merencatkan pertumbuhanmu. Tapi, kemudian aku kuatir pula, sebab ‘terteduh’ kamu mungkin tidak jadi segar bugar. Namun, hakikatnya, kamu memang benar-benar penumpang yang sejahtera banget!
Cuma aku agak terkilan. Apakah kamu sendiri tidak segan silu kepada jiranmu di sebelah tembok itu? Ya, kenanga jiran itu! Kenanga itu juga kan penumpang! Malah begitu kepepet dia, kerana ada spesies lain yang turut menyesak di situ, kan? Tapi dia sentiasa berbunga.
Maaf ya jiran, 'nyolong momotret'!
Kamu kan lagi montel! Kok malas menyerbakkan dirimu sendiri? Juga lubang-lubang hidungku? Kata rakanku, mungkin fotosintesismu kurang sempurna. Kerana kamu keenakan, berpanjangan bagai berulit mimpi di sositet agung! Lalu, kerana keselesaan hidup itu, kamu berterusan mabuk ... daun!
Tak mengapa. Biar kuturunkan daun-daun dan juga ranting-ranting subur si Kelat Paya. Biar kamu kepanasan sedikit. Mungkin kamu akan jadi lebih ingat, tugas membunga!
Aku tunggu dan tunggu. Berbulan sudah ni! Si Kelat Paya pun sudah berpucuk merah. Dia sedar sendiri, selepas dipangkas, dia mesti bertunas merah untuk tatapan indah penjaga setianya. Kamu? Di mana bungamu?
Mungkin sebab masih terlalu mepet dengan 'orang' lain, masih tetap dipayungi, masih berteduh, juga masih manja melaut, maka kamu tidak mampu mengeluarkan kembangmu.
Jadi, biar aku cuba telengkan batang tubuhmu. Agar kamu jadi terbebas sedikit dari si Kelat Paya. Nah, aku gandulkan sedikit batu pada batang tubuhmu itu. Biar kamu boleh meneleng, sambil belajar berdikari.
Bajamu nanti akan aku kurangkan, sementara waktu. Selepas itu, andai tiada juga tanda-tanda kamu akan berbunga, akan aku tanggalkan semua daun-daunmu. Biar kamu jadi seperti si Tulang-Tulang! Itu pasti akan membuat kamu malu besar. Mungkin setelah itu kamu akan berusaha lebih gigih mengeluarkan cambahan bunga-bungamu, sehingga kenanga jiran tidak aku peduli lagi!
Aku tunggu satu purnama, boleh? Kalau kamu bebal menunjukkan kemajuan (kan KPImu cuma satu saja - keluarkan bunga!), akan aku hijrahkan kamu ke pojok taman. Anggaplah itu 'buang daerah'!
Apa adakah pakar budiman di luar sana yang sudi membantu kenangaku memenuhi KPInya?
(Ceritera kenanga pastinya juga mengundang babak-babak pahit manis mensosialisasi anak-anak tersayang, pewaris zaman mendatang).
Apa adakah pakar budiman di luar sana yang sudi membantu kenangaku memenuhi KPInya?
(Ceritera kenanga pastinya juga mengundang babak-babak pahit manis mensosialisasi anak-anak tersayang, pewaris zaman mendatang).









