Kisahnya, gangguan semasa solat tarawih. Sudah separuh bulan puasa. Masalahnya belum kelihatan terurai seratus peratus.
Yang ganggu bukan makhluk halus. Tapi 'pasukan' kanak-kanak, dalam lingkungan 10 tahun ke atas. Bila? Bila solat tarawih mula, sampai selesai sembahyang rakaat ke 8. Gangguan ada ‘rehat’ juga, iaitu bila jemaah berdoa, sebelum sembahyang seterusnya dimulakan. Gangguan, al-hairannya, boleh dikatakan ghaib sepenuhnya bila imam mulakan rakaat ke 9.
Yang mengganggu berstesyen di belakang saf terakhir, di dalam dan luar surau. Bentuk gangguannya macam-macam. Boleh berlaku sekaligus. Mereka berbual, berjenaka, berlari-lari, keluar masuk surau, menjerit-jerit, membuka-tutup pintu surau, dan juga bising di kawasan juadah dan minuman di sebelah belakang. Ada kalanya, ada juga bunyi tangisan anak kecil. Ada juga AJK Surau, Imam, dan seorang dua ahli jemaah berusaha hentikan kebisingan. Buat announcement. Beri ingatan. Bagi pesanan. Jangan ganggu orang sembahyang. Ikut sembahyang!
Intensiti gangguan - memang terasa sebab gangguannya panjang. Panjang gangguan, samalah panjangnya masa sembahyang. Memang panjang tempoh sembahyang sebab surau telah merancang habiskan satu Quran pada tarawih hari ke -26 puasa (insya Allah). Takjub sungguh, para pembising nampaknya langsung tak endahkan teguran. Ini bukan kes ‘masuk telinga kanan keluar telinga kiri’. Ini kes tak masuk telinga pun! Barangkali, 'itulah budak-budak'! Geramlah juga. Kesihan kepada jemaah yang tentunya mahu bertarawih dengan khusuk. Maklumlah itu sembahyang istimewa, setahun sekali.
Jika AJK Surau, Imam dan seorang dua ahli jemaah yang prihatin tak diendahkan, mungkin kena ibu bapalah beri nasihat. Mereka boleh pesan pada anak-anak. Ke surau jangan bising. Ke surau ikut sembahyang. Atau paling kurang, tengok orang sembahyang. Diam-diam. Jangan bermain-main dengan kawan-kawan. Jangan buat hingar bingar. Jangan ganggu tumpuan orang sembahyang.
Mungkin masa anak-anak buat hal, bapa (juga emak) memang ada dalam surau. Tapi tengah sembahyang mana nak boleh menegur. Tegur anak sendiri boleh jadi juga kecilkan hati bapa-bapa lain. Macam pukul anak sindiri menantu pula. Mungkin ada anak- anak ke surau dengan kawan-kawan, bapa dengan emak pun tak tahu. Atau bapa dengan emak sebenarnya tak ada di surau di mana anak mereka masuk pasukan buat bising. Bapa dengan emak mungkin pergi ke surau lain, atau ke mesjid besar.
Sekadar terkenang dan mengeluh. Nak buat macam mana? Takkan nak suruh budak-budak tu balik! Kenalah jadi jemaah yang tahan, tahan, tahan. Sabar, sabar, sabar! Tak boleh main tegur atau sindir. Bertarawih pun perlu self-control. Sebab kita letih. Orang lain pun letih. Kena kawal. Bimbang jadi kecoh-kecoh pula. Takkan kita mahukan tarawih menghasilkan satu tawarikh yang tak menyeronokkan. Memang tak sepatutnya!