Kisah KUDATI (kucing datang tanpa izin) dalam entriku yang lepas mungkin mengingatkan sesetengah kita rasa serbasalah bila tiba-tiba ada kudati terpacul dalam rumah atau kawasan rumah sendiri. Bersedia atau tidak meladeni dan menerima si haiwan yang mahu jadi penempek atau penempel itu?
Ini satu lagi hal PENEMPEK. Menempek kesenangan pihak lain. Penempek atau tukang tumpang ini jenis tumbuhan, para RUTUTI (rumput tumbuh tanpa izin). Macam-macam bangsanya. Tugas primernya menempekkan diri, di tepi-tepi malah juga di tengah-tengah tumbuhan utama.
Pantang lepa, pantang ada ruang, para RUTUTI ini masing-masing dengan senyap-senyap mengemudi diri, cuba menjengulkan batang tubuh mereka, dan tumpang menyuburkan diri di celah-celah kesuburan pihak lain. Malah bila sampai ketikanya, para 'juara menumpang' ini secara sistematik menghimpit dan menghimpit, malah menenggelamkan batang dan reranting tumbuhan utama.
Itulah yang ku perhatikan berlaku dalam tamanku. Sejak dua tiga bulan yang lepas, ku cuba ceriakan taman gersangku dengan membanyakkan di dalamnya tompokan bunga Ros Jepun (sekalipun tak sebanyak mana jenis, warna dan longgokannya). Seronok-seronok sendiri, untuk dua tiga bulan ini, ku berilah tamanku tema khusus, "Pandang Ke Timur", dek adanya tumpuan kepada Ros JEPUN.



Sekali pandang memang tompok-tompok Ros Jepun ini semuanya macam terjaga rapi. Tapi, andainya kita tajamkan mata melihat satu-satu tompok, akan kelihatanlah di celah-celah kembang utama itu banyak penempeknya.
Para penenggek atau 'tukang tenggek' ini hidup bagaikan spesis halimunan. Menyorok-nyorok. Sukar dikesan. Masing-masing hidup mewah atas kesenangan (atau juga keperitan) kembang utama. Kesihan si Ros Jepun.
![]() |
| Kata si kudup merah, "Tidak mungkin aku boleh mengembang dengan segar bugar. Lihatlah banyaknya jenis penempel di sekelilingku!" |
| "Kalau tak ramai penceroboh di sekeliling kita, mungkin cukuplah makanan yang ada untuk mengembangkan lebih ramai kekawan kita yang asyik jadi kudup tu!" |
| "Tolong! Tolong! Kami sudah tak boleh bernafas ni!" Sah, para RUTUTI telah jadi lebih berkuasa. Di mana pihak berwajib? |
| Ada RUTUTI yang lebih segar bugar daripada tanaman utama. Kata mereka, "Kita kongsilah kemewahan!" |
![]() |
| Tiga lawan dua. Boleh bertahan! |
| Satu lawan satu. Sama kuat nampaknya. |
![]() |
| Bila pihak berautoriti bertindak.... Tapi biasanya telah banyak kesan buruk berlaku. |
![]() |
| Penempek, penenggek, penumpang, penempel, penceroboh ..... macam-macam jenisnya. |
![]() |
| Pihak berwajib pun, hati selalu lebih. Tapi kaki kurang, tangan pun kurang. Tengoklah banyaknya jenis kumpulan yang bermaharajalela. |
























