Tuesday, December 23, 2008

TERKENANG 1: C E L I K

Dalam paparan kedua ini, ingin kunukilkan sedikit kisah yang berkaitan dengan saat-saat awal aku celik huruf. Ini kisah penggunaan "papan batu".

Aku amat bersyukur kepada Allah. Dia menganugerahkan kesempatan kepadaku melalui dan mengalami zaman elektronik yang serba canggih ini. Tidak pernah termimpi olehku bahawa pada hujung-hujung zaman bekerja, dan kemudiannya bersara, aku akan berpeluang menggunakan "komputer". Tidak pernah terfikir olehku, aku akan mendapat peluang dan ruang maya bagi berkomunikasi dengan rakan lama, menulis emel, bertukar berita dan gambar, malah membeli barangan -- kesemuanya dengan menggunakan komputer. Apa yang kuanggap juga menakjubkan ialah komputer membolehkan aku melayari internet, sehingga aku boleh jadi tenggelam dengan pelbagai informasi dan jadi bertambah celik maklumat pada kadar yang pantas.
Walaupun pada hari ini aku dapat dan telah menggunakan komputer (hatta sehingga aku mampu memblog!), aku tak mungkin lupa pada "papan batu" yang pernah kugunakan semasa dalam Darjah Satu (tahun 1954) di sekolah Melayu. Papan batulah yang membantu aku menjadi celik huruf dahulu.

Anak-anakku tidak tahu papan batu itu apa. Macam mana pula "papan" boleh dibuat daripada "batu"? Besar mana papan batu tu? Beratnya? Saban hari macam mana murid angkut papan batu ke sekolah? Berapa papan batu kena pikul bila ke sekolah? Satu papan batu untuk satu subjekkah?
Aku pun jelaskan kepada sianak-anak zaman kemajuan ini: papan batu merupakan kepingan nipis "batu" (yang aku sendiri pun tak pasti dibuat daripada bahan apa!) yang diberi bingkai, besarnya lebihkurang kertas A4, beratnya lebihkurang 250 gm, boleh dibawa ke sekolah dalam bakul atau dibungkus kain (sebab takut retak atau pecah!). Aku yakinkan mereka, bawa sebuah pun sudah mencukupi. Aku juga terangkan, di atas papan batu itulah aku menulis dan melukis. Selepas habis satu-satu subjek (Darjah Satu mana ada banyak subjek!), seperti subjek Tulisan, Lukisan, atau subjek "Ejaan", cikgu akan memeriksa kerja murid. Dia akan "merait" (tanda tick) kerja murid dengan kapur, tanda "rait"nya panjang kalau kerja murid itu memuaskan. Aku memang sangat sayang mahu memadam tanda "rait" begitu. Tetapi untuk kegunaan subjek seterusnya, semuanya kena dipadam!

Anak-anakku juga tidak dapat gambarkan "pensil" atau "pen" yang kugunakan untuk menulis atau melukis atas papan batu. Juga, macam mana mahu memadam tulisan atau lukisan pada papan batu? Kujelaskanlah "pensil" atau "pen" yang digunakan kami panggil "kalam", diperbuat daripada bahan yang lebih kurang sama dengan papan batu. Bila digunakan untuk menulis, kalam itu sebenarnya "mengorek" permukaan papan batu, menampakkan apa yang ditulis. Kalam, lama-lama menjadi tumpul. Ia perlu "diasah" supaya lebih "tajam" dan berfungsi baik apa bila digunakan. Tempat mengasah selalunya ialah lapik tiang sekolah yang dibuat daripada simen.

Bagaimana tulisan atau lukisan pada papan batu dipadam? Semasa bersekolah, aku kerap menggunakan sejenis daun bunga hiasan (orang kampung memanggilnya bunga lili), yang apabila cukup tua, menjadi kuning warnanya. Daun bunga ini panjang (kira-kira 3/4 meter) dan mempunyai kandungan air yang banyak. Ada juga sejenis pokok liar (tak ingat pula namanya) yang batangnya juga mengandungi air yang boleh digunakan sebagai pemadam papan batu. Batangnya itu bersaiz lebihkurang sebesar jari manis orang dewasa. 

Sememangnya aku merasa bertuah kerana berkesempatan menggunakan papan batu, juga kemudiannya menggunakan komputer. Anak-anak dan cucu-cicitku tak merasa menggunakan papan batu. Namun, ini bukanlah satu kerugian bagi mereka. Para anak, cucu dan cicit, suatu masa nanti, akan berkata mereka lagilah bertuah. Pada masa itu mereka berpeluang menggunakan suatu alat yang jauh lebih canggih, menggantikan komputer dan menjadikan komputer satu "barang lama". Pada masa itu malahan, era komputer akan mereka kata sebagai "era dahulu kala", atau "era papan batu abah"!

4 comments:

Hjh Noralenna Abbas said...

Saya embunkan papan batu itu untuk bersihkannya, juga asah kalam kat tepi longkang. Sekarang ni ada juga papan batu di ubahsuai jadi papan putih dan ditulis dengan marker.

Temuk said...

Pn Hjh
Terima kasih sudi mampir. Oh, di BC pun pernah ada sekolah pakai papan batu? Ingatkan di rural schools saja. Terlupa, embun juga memang biasa digunakan utk membersihkan papan batu. Sambil berjalan ke sekolah, sapukan papan batu pada pucuk rumput yang berembun di tepi jalan... free and environment friendly.

WELAS ASIH said...

Salam
Sayapun mengalami memakai papan batu.
Di daerah saya disebut "sabak".Sedangkan "pena"nya dari batu juga,disebut "grip"atau"graph".Setiap hari Sabtu saya cuci papan batu itu dan saya gosok dengan arang.Penanya saya gosok-gosokkan di batu supaya runcing.

Temuk said...

Sdra Welas Asih
Thanks for sharing. Jika diingat kembali, tentu kita sangat bertuah dengan kesempatan guna sabak dan grip, ya? Itu juga rezki yang keturunan kita kayanya enggak bakal mendapatnya. Salam bahagia.