Wednesday, October 20, 2010

PENEMPEK II : KISAH RUTUTI

Kisah KUDATI (kucing datang tanpa izin) dalam entriku yang lepas mungkin mengingatkan sesetengah kita rasa serbasalah bila tiba-tiba ada kudati terpacul dalam rumah atau kawasan rumah sendiri. Bersedia atau tidak meladeni dan menerima si haiwan yang mahu jadi penempek atau penempel itu?

Ini satu lagi hal PENEMPEK. Menempek kesenangan pihak lain. Penempek atau tukang tumpang ini jenis tumbuhan, para RUTUTI (rumput tumbuh tanpa izin). Macam-macam bangsanya. Tugas primernya menempekkan diri, di tepi-tepi malah juga di tengah-tengah tumbuhan utama.

Pantang lepa, pantang ada ruang, para RUTUTI ini masing-masing dengan senyap-senyap mengemudi diri, cuba menjengulkan batang tubuh mereka, dan tumpang menyuburkan diri di celah-celah kesuburan pihak lain. Malah bila sampai ketikanya, para 'juara menumpang' ini secara sistematik menghimpit dan menghimpit, malah menenggelamkan batang dan reranting tumbuhan utama.

Itulah yang ku perhatikan berlaku dalam tamanku. Sejak dua tiga bulan yang lepas, ku cuba ceriakan taman gersangku dengan membanyakkan di dalamnya tompokan bunga Ros Jepun (sekalipun tak sebanyak mana jenis, warna dan longgokannya). Seronok-seronok sendiri, untuk dua tiga bulan ini, ku berilah tamanku tema khusus,  "Pandang Ke Timur", dek adanya tumpuan kepada Ros JEPUN.

















Sekali pandang memang tompok-tompok Ros Jepun ini semuanya  macam terjaga rapi. Tapi, andainya kita tajamkan mata melihat satu-satu tompok, akan kelihatanlah di celah-celah kembang utama itu banyak penempeknya. 

Para penenggek atau 'tukang tenggek' ini hidup bagaikan spesis halimunan. Menyorok-nyorok. Sukar dikesan. Masing-masing hidup mewah atas kesenangan (atau juga keperitan) kembang utama. Kesihan si Ros Jepun.

Kata si kudup merah, "Tidak mungkin aku boleh mengembang dengan
segar bugar. Lihatlah banyaknya jenis penempel di sekelilingku!"
  
"Kalau tak ramai penceroboh di sekeliling kita, mungkin
cukuplah makanan yang ada untuk mengembangkan
lebih ramai kekawan kita yang asyik jadi kudup tu!"

"Tolong! Tolong! Kami sudah tak boleh bernafas ni!"
Sah, para RUTUTI telah jadi lebih berkuasa. Di mana pihak berwajib?
 
Ada RUTUTI yang lebih segar bugar daripada
tanaman utama. Kata mereka, "Kita kongsilah kemewahan!"

Tiga lawan dua. Boleh bertahan!

Satu lawan satu. Sama kuat nampaknya.
 
Bila pihak berautoriti bertindak.... Tapi
biasanya telah banyak kesan buruk berlaku.

Penempek, penenggek, penumpang, penempel,
penceroboh ..... macam-macam jenisnya.

Pihak berwajib pun, hati selalu lebih. Tapi kaki kurang,
tangan pun kurang. Tengoklah banyaknya jenis kumpulan
yang bermaharajalela. 

"Semoga kami seaman dan sebahagia
seperti yang kelihatan pada mata kasar ini."
Sehingga ketemu lagi, dengan kisah taman yang lain .....

30 comments:

ckLah @xiiinam said...

Pak Temuk...
Saya ada lagi satu..


'MADATI!'




Malas datang tanpa izin....


***Cantiknya laman rumah tuan.

sahromnasrudin said...

salam tuan temuk..cara penulisan tuan temuk kali ini mengingatkan saya ketika tuan temuk memberikan kuliah kepada kami dahulu..perkataan yang tuan temuk gunakan sangat mengesani dan penuh dengan makna yang tersirat..ingatan saya kembali ke zaman student dahulu

aidah said...

Salan En Temuk,
wah 1st time jumpa perkataan2 ni. Cantik kebun bunga En Temuk. Sy ni hanya suka melihat keindahan bunga2 tu je tapi nak menanamnya langsung tak minat.

Temuk said...

Salam ckLah
Saya pun, bukan saja malas datang, tapi takut datang, tanpa izin. Namun utk ke blog saya yg tak sepertinya, siapa-siapa pun yg sudi, dipersilakan. Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.

Tak mana cantiknya, ckLah. Terima kasihlah. Ini kes bertaman & berlaman cara kampung - main tanam ikut sempat dan 'mood'. Nandur mainan, kok. Ceria selalu!

Temuk said...

Salam SAHROMNASRUDIN

Masa kita bersama dulu kan saya pun dah tak muda. Jadi 'cara' masa tu barangkali dah susah nak diubah. Walau apa pun, terima kasih. Saya amat percaya yang Sahrom mudah ingatkan Serdang. Saya juga mengingatinya sentiasa, kerana Serdang memang hebat! Ceria selalu!

Temuk said...

Salam Aidah
Terima kasih. Tu 'kebun bunga' suka-suka saja. Isi masa. Tanam pun ikut mood, tanpa sistem.

Tak mengapalah Aidah tak berminat menanam bunga, tapi hebat dalam hal masak memasak. Dan entri-entri mengenai resepi masakan Aidah memang menyeronokkan. Bila ada 'mood' saya ke dapur juga, main-main masak, sekali sekala. Ceria selalu!

hentian said...

oo.. ini ros jepun rupanya. IM selalu tengok tapi tak lah tahu namanya. tapi masa IM pi jepun, tak nampak pula pokok bunga ni di sana...

Temuk said...

Salam IM
Kalau ikut buku, itu memang Ros Jepun. Mungkin juga ada nama-nama lain. Hihihi, tak ada pula Ros Jepun di negara Jepun, ya? Barangkali samalah kesnya dgn mee bandung dan ais bandung yg tak ada di Bandung! Ceria selalu!

Unknown said...

Rose Jepun ni lebih subur dan lebih cantik kalau ditanam ditanah daripada ditanam didalam pasu...nyata sekali nampak cantik dihalaman rumah Temuk walau pun ada 'penempek' dan 'penumpang' etc. dicelah-celah bunga :)

Cantik bahasa Temuk, isah sedang belajar ni... :)

Salam Ceria!

ahmad humairi said...

salam,

Ros Jepun tidak melata pergi,
Rututi tidak melata mari....

Persetujuan atau persahabatan harus datang dari kedua-dua belah pihak, namun perlengkapan ikhtiar hidup, siapa kuat dia menang.

Pihak berkuasa memenangkan yang lawa-lawa aje!

Rututi boleh juga disemadikan di arkib herbarium jika berminat.

Salam kembang di taman!

Abu Aiman said...

Salam ziarah,
Ruang taman saya kecik jer, ruruti tu dalam keadaan terkawal.
Ada sekor ubi kudati dlm kotak kat porch rumah. Nak dihalau kesian pulak ada baby 2 ekor...

Temuk said...

Hi Isah
Benar. Ros Jepun yg di pasu gantung sukar membiak & kuranglah bunganya. Kalau di pasu besar atas tanah, boleh tahanlah pembiakan & prestasinya.

Tiada kata secantik bahasa. Tapi pastilah bukan yg Temuk punya. Salam & have a nice day!

Temuk said...

Salam Cikgu Humairi
Saya rasa tentulah herbarium di sekolah Cikgu terus menambah bilangan artifak barunya. Tahniah!

Ros Jepun & Rututi mungkin sama-sama menyanjung toleransi & saling faham memahami, dgn penuh kesedaran dalam dunia penuh persaingan, siapa kuat dia meningkat, siapa lemah dia punah.

Yalah, Cikgu, tentulah pihak berkuasa memenangkan yang lawa, sebab itu memang buah hati dia dan jagaan dia.

Temuk said...

Salam bahagia Abu Aiman

Terima kasih kerana sudi menziarahi blog saya. Semoga akan berpanjangan hubungan yang bermanfaat. InsyaAllah.

Ruang taman saya pun kecil juga. Mudahlah mengawal RUTUTI, cuma nak rajinkan diri yang tak mudah!

Benar, tentulah kesihan pada kudati yg baru beranak itu. Juga pada anak-anaknya. Mungkin boleh dipanjangkan visa mereka sehingga si kittens cukup dewasa. Kalau nanti terpaut pula rasa kasih, jadikanlah mereka permanent resident. Have a nice day!

AUR said...

Salam Pakcik,

Hehehe..Sempoi gaya penceritaan...hehehe...

ngasobahseliman said...

Saya seorang pesara. Saya suka membaca blog sdr. Cantik dan membuat saya berfikir kerana ia meminta orang membaca apa yang tidak tertulis.Alhamdulilah.

Hajah Zainab bt Abdullah said...

Salam Temuk,

RUTUTI ! Haa..baru pertama kali saya dengar...nanti nak bagitau en suami yang RUTUTI kat taman sekangkang kera dia tu dah begitu suburnya!!

Dulu2 saya ada tanam ros jepun ni..tanam dek terpikat dengan warna2 yang cantik tu...lama2 saya tak larat nak jaga sebab RUTUTI tu menang!

Rajin En Temuk bergardening yer..laman pun nampak 'terbela'...tak macam kat umah saya hari ni..:((

Hjh Noralenna Abbas said...

Oh ye, tadi saya tarik Rututi (macam nama bibik aje)yang melingkar subur keliling pokok bambu Jepun. Ada pula yang jenis 'climber' lilit pokok daun pandan. Rututi ini kalau tak diserang, menjadi-jadi dia. Happy gardening.

Ann @ DN said...

Salam,
Lama x ziarah ke blog Temuk ni...sbb mmg lama x online...keuzuran diri dan suami...blog sdri pn da brsawang :)
Seronoknye dapat blaja 'istilah'2 baru dr blog tuan hamba dan cantiknya taman hasil tgn tuan hamba.
Happy gardening pak..!

Temuk said...

Salam AUR

Hehehe. Itu cerita SSS (seronok-seronok sendiri). Kalau ia jadi cerita 'semua seronok sama', alhamdulillah. How's business? Semoga baik senantiasa.

Temuk said...

Salam NGASOBAHSELIMAN
Terima kasih sudi mampir. Semoga hubungan di alam maya ini akan menelurkan manfaat yang diredaiNya. Saya juga memperolehi pendidikan berharga daripada beberapa entri ngasobahseliman yang sempat saya baca. Terima kasih.

Temuk said...

Salam HJH. ZAINAB

Lama tak tengok gambar-gambar baru taman & laman Hjh. Juga tanaman-tanaman istimewa En. Suami.

Bila para RUTUTI muncul, dapatlah kita kerja tambahan dan adalah peluang lebih utk berpeluh. Hihihi, bila nampak bersih sikit taman tu, beranilah kita menggambarnya, Hjh! Dua tangan + dua kaki ni memang tak cukup utk mengendahkan & mengindahkannya, sekalipun kawasan hanya sekangkang semut. Ceria selalu!

Temuk said...

Salam HJH NORA
Agaknya boleh tak sekeliling buluh Jepun tu ditanami dengan Ros Jepun?
Dua spesis Jepun boleh menakutkan bibik Rututi!

Saya suka mencabut akar atau mengerat pangkal pemanjat & membiarkan seluruh jasadnya layu utk menikmatkan mata memandangnya. Phew!

Temuk said...

Salam N @ MakNi

Selamat bertemu kembali. Semoga N, suami & anak-anak dikurniakan Allah kesihatan yang berpanjangan.
Keuzuran adalah ujian dariNya. Semoga kita lulus (juga dgn izinNya) ujian itu, & semoga kita diberi ganjaran olehNya.

Diucapkan selamat menambah pasu & tanaman di rumah!

Ija said...

lama dah tak merumput kat rumah. last time merumput before kerja shell....

Pak Idrus said...

Temuk, Simple flowers with ingenuity became a colorful garden. Indeed a work of art from a creative mind. Turning the space into a beautiful and colorful garden. The result it give joys to everyone.

Have a nice day. Take care.

sahromnasrudin said...

salam tuan temuk...jika tidak keberatan, tuan temuk buatlah entri khas kenapa tuan temuk menggunakan nama temuk ini..saya ingin sekali mengetahuinya kerana nama ini sangat unik dan berbeda sekali..saya begitu merindui perkataan-perkataan yang tuan temuk gunakan dalam kelas dahulu..memang tuan temuk sosiologis yang hebat...

Temuk said...

Hi IJA
Yang malas merumput boleh dikira termasuk dlm golongan "kambing dimandi pagi". Tak mengapa. Cari kambing benggala & tambatkan di kawasan berumput. Habislah rumput. Harap-harap tak hujan, sebab kambing bandot pun lari pukang lintang dek hujan setetes. Hihihi.

Temuk said...

Salam Pak Idrus

Terima kasih. Sememangnya ada bunga yg murah & mudah ditanam yg boleh mengindahkan kawasan kita. Pun begitu, kita mudah alah pada cuaca ekstrim tempatan, yg kadangkala amat kering & amat basah, hingga kita gagal mempastikan taman kita hijau segar sentiasa.

Kalaulah dapat cuaca Cameron Highlands di bawah ni .... Semoga ceria selalu!

Temuk said...

Salam SAHROMNASRUDIN

InsyaAllah, satu hari nanti keluarlah cerita 'nama' tu. Tak ada unik apa pun; nama biasa saja tu. Namun saya akui, ia tak lekang dikenang; ia tak jemu dirindu! Jangan pula nanti, cerita tak ada apa, cerita tak tara mana!