Sunday, February 10, 2013

PELAJARAN DARI MEMUPUS MAMBU

Dalam paparan sebelum ini, sudah ada cerita Mambu yang kukorbankan. 
Mula-mula, cantas-cantas dahan saja. Aku kata, usah bunuh. Tengok dulu.


Bila akar dah ketara merungkai jalan, dia kuracun. Dalam beberapa
hari, kering kontang daunnya. Banyak yang bertebaran di bumi.


Namun, batangnya tak sempat kontang. Pemandangan dah jadi 
kurang ayu. Segera kubawakan kapak, berkawankan parang.














Tak habis pun kapak, tak payahlah berbeliung. Tapi ketajaman kapak tetap terusik.


Parang bukan berasal besi kharsani. Sehari dagang menggalas, jejak ditikam dia ketawa! 

Tapi untuk melapah si Mambu,  walau tak sebisa Keris 
Sempena Ganja Iras, kuasa parang memang memadai.

 
Terhasillah "kayu api" yang bakal kuikat untuk 
Pakcik Bandaran. Kalau terlonggok bahan begini dalam zaman 
50-an dulu,  tentu senyumlah ibu melihatnya. Seronoklah hatinya, 
melerek bahan bakar untuk bertanak, berikat-ikat dikumpul anak!

Kata seorang rakan blogger tak lama dulu, daun Semambu boleh jadi 
baja pokok. Maka taklah ia kubungkus untuk Pakcik Bandaran.

Antara yang kuturapi dengannya, dengan harapan menjadi subur 
dan berhasil baik, adalah si Ciku Mega. Juga Pinang Raja, bersama Lily
hijau.   Tapi semenggahkah kaedahnya, hanya longgok daun di perdu pokok?!

 

 

 
 
Eh, pelajaran apa dari memupus Mambu?

1. Fikir jangan setengah masak (tapi masak-masak) bila hendak menanam pokok. 
Supaya jangan baru saja ditanam - jenis dipilih pecut merendang - belum pun hinggap burung 
yang terbang - panas matahari belum terhalang  -  pokok sudah nak kena tebang! 
Kesian belanja, kesian tenaga, kesian masa.

2. Usah seronok-seronok meracun pokok. Cuba kira duit racunnya, ingat hitung 
letih meracunnya, mesti jangka bahaya racunnya, juga gambarkan selerak sekelilingnya!

3. Lebih baiklah pokok segar ditebang terus. Usah dibuang racun, duit dan tenaga.
Sembamkan pokok ke tanah,  kala segar. Lembut batangnya,  lembut dahannya, Walau
guna kapak dan parang, taklah banyak sakit belakang. Kuranglah meraung sendi dan tulang.



29 comments:

Hjh Noralenna Abbas said...

Aduh...halusnya bahasa, berkias-kias.

ngasobahseliman said...

Salam Pak Temuk. Tak ape. Jangan dikesal. Aktiviti sihat dan menyehatkan. Pastinya berpeluh sakan. Dan lagi dapat guna kapak dan parang. Kalau tak, nak guna untuk ape ye? Parang di rumah saya duduk bawah katil. Konon kalau kecemasan ada senjata. Sekarang duduk bawah dapur, berkarat......

Temuk said...

HJH NORALENNA
Perlu akur kepada nilai "yang kurik kundi, yang merah saga". Lama tak cerita BS. Memang lebih selalu di BC, ye?

Temuk said...

NGASOBAHSELIMAN
Salam Ngasobahseliman. InsyaAllah menyihatkan, tapi yo kekeselen juga. Terutama parang pendek, memang saya cuba gunakan dengan kerapnya. Supaya tak karat. Juga biar rajin mengasahnya balik selepas dipakai. Sekarang ini, dapat menggunakan parang + mengasahnya pun jadi satu theraphy kepada minda. Untuk elakkan karat, sapu dengan minyak masak sebelum parang disimpan.

sudipVSsenduk said...

Assalamualaikum cikgu..
dalam lagu p.ramlee, batang semambu boleh dibuat tongkat utk menghalau hantu & orang tua2 cakap, daun semambu boleh ubat penyakit chickenpox.

ctpayong said...

assalamualaikum wbt

kalau kakCT, cukup dipangkas sahaja. kasihan bertahun berdoa akhirnya tersembam ke tanah. tapi mungkin tuan punya tanah ada percaturan lain...

makchaq said...

Sedih pulak baca..tambah siap berkias2....
Mkchaq memang sedih bila kena buang pokok.. Pokok mati pun sedih jugak..
Masa kat rumah lama, makchaq ada dapoq kayu, bila prun pokok, kayu2 tak la terbuang..
Makchaq memang selalu letak rumput dan daun kat perdu pokok buat baja, kadang2 letak dalam pasu kosong + tanah ala2 nak buat kompos..

Umm AA said...

Assalamualaikum pak temuk...
semoga sehat hendaknya bercuti2 bersama keluarga di tahun baru cina...
Bila tengokkan pak temuk meracun pokok mambu tuh terpikir plak, apakah helahnya yer..biasanya kan orang main tebang jer...tapi tak temuk lagi bijaksana kan ..ade reasonnya tersendiri..daun2 yg kering itu setelah dipusakakan oleh bbrp penerima, inshaallah bermanfaat jgk..eloknya kayu mambu tuh pak temuk simpan..mana tau kan kalau2 nak masak sesuatu kat luar rumah guna kayu api sambil main2 ngan cucu.. ker tak boleh..bandaran tak bagi mopen burning...

al-lavendari said...

paling mudah .. upah je orang Indonesia menguruskannya.

Temuk said...

sudipVSsenduk
Wa'alaikumussalam. Setahu saya memang biasa orang kita, juga orang India, gunakan daun semambu untuk mengubati penyakit campak. Kurang pasti pula samada tongkat kayu semambu boleh tahan lama, kecuali pokoknya tua, kerana rasanya kayu semambu tu tak begitu keras.

Temuk said...

CTPAYONG
Wa'alaikumussalam. Memang sangat kesihan. Sangat sedih. Terutama kerana jadi berkurangan kawasan yang redup di tepi rumah sekarang ni. Tapi, sebab akarnya rosakkan jalan, kenalah ditebang.

Temuk said...

MAKCHAQ
Bila ada blogger yang kata daun semambu ada kandungan istimewa dalamnya untuk dijadikan baja pokok, saya pun nak cubalah. Kalau main longgok keliling perdu pun bagus hasilnya, memang mudahlah cara menggunakannya. Ranting kecil pokok tu saya potong pendek dan ikat untuk dibuang Majlis Bandaran. Yang besar-besar saya bakar sendiri. Memang sedih menebang pokok ni. Apa pokok pun. Tapi itu = sebahagian dari kaedah memudahkan hidup, insyaAllah.

Temuk said...

UMMUAIDAN
Wa'alaikumussalam. Bab potong/tebang pokok memang menyedihkan, tapi ada kalanya terpaksa. Kayu mambu yang kecil telah saya potong dan ikat untuk dikutip oleh Majlis Bandaran. Sebahagian daripada yang bersaiz besar sudah saya bakar. Majlis Bandaran tak nampak saya membakar secara terbuka, sebab jauh, hehehe.

Cucu-cucu suka lihat saya membakar kayu ni, tapi cabut lari bila asap masuk ke mata. Memang nak tunggu beberapa bulan lihat sama ada longgokan daun mambu kering pada perdu pokok membawa kebaikan kepada pokoknya.

Ada celebration tahun baru Cinakah di Fiji? Semoga ummuaidan sefamili juga sihat sejahtera.

Temuk said...

AL-LAVENDARI
Betul tu. Cuma bagi saya ada tapinya. Beberapa pengalaman lepas menyebabkan saya lebih suka urus keliling rumah sendiri. Pertama kerana memang suka melakukannya (walau mengaku letih). Kedua, itulah saja yang boleh keluarkan peluh sekarang ni. Ketiga, tak suka jadi mandur kepada Indon yang bekerja, kerana asyik kena beri panduan; baiklah buat sendiri. Keempat (ini berkait kerja mesin rumput), selain kena pantau + tunjuk tak berhenti, mesin mesti kena tukar mata selepas sekali saja digunakan, sebab bukan saja rumput yang dimesin mereka. Jauh pula tu nak ke kedai untuk repair + jadi banyak pula belanjanya. Kalau dah tak larat sangat nanti mungkinlah terpaksa juga suruh warga Indon buatkan kerja.

Al-Manar said...

Kasihan pokok dibunuh dengan kapak dan parang hingga kan umbi dan akar terburai dan akirnya mayat dibakar?

Adry@Daun said...

As salam cikgu,
Biarpun keputusan utk tebang pokok ni dah jadi pilihan kedua tapi masih belum terlambat. batang pokok semambu/mambu ni masih basah, ia belum terlalu keras keras utk dimakan oleh mata parang dan kapak. Kayu pkk semambu ni sgt keras bila dah kering. Batang pokok yang tua pun blh tahan kerasnya. Bila kita takik kayu pokok ni, seolah-olah besi berlaga dgn besi.

Daun semambu blh dijadikan baja organik. Cadang saya, ia dikomposkan dulu atau tanam dlm tanah. Jika terdedah, mungkin ia akan berselerak diterbangkan angin atau dikais oleh haiwan/burung.

Adry@Daun said...

Pokok semambu yang cikgu tanam ni sebenarnya lebih elok jika dipangkas pada ketinggian tertentu. Ia akan membuatkan pokok ini lebih rendang dan cantik. Semambu adalah antara tanaman teduhan yang biasa kita lihat ditanam di kawasan luas spt taman atau tepi jalan.

Temuk said...

AL-MANAR
Kesihan. Tapi tak elok pula jika hari-hari kita marahi si mambu kerana akarnya yang merosakkan jalan.
Dibakar setelah ia mati, dengan niat tak mahu banyakkan batang-dahan berkerat untuk buangan Majlis Bandaran. Bakar sendiri. Arangnya boleh juga digunakan untk pasu-pasu orkid, dan daun keringnya, sebagai baja organik. Akar pokok masih di bawah tanah. Diharap tidak menumbuhkan tunas dan mereput sendiri. Dan diharap, baru-batu jalan mendap semula ke tempat asal.

Temuk said...

ADRY@DAUN
Wa'alaikumussalam, Adry. Terima kasih di atas maklumat dan tips Adry khususnya mengenai kaedah membuat baja organik menggunakan daun kering mambu itu. Sebenarnya saya amat suka menggunakan baja asli, termasuk najis haiwan. Tapi nak dapatkannya (dan yang tak kita ragui haiwannya) agak sukar. Lebih mudah mengenali baja tahi ayam. Kalau yang dilabel baja najis kambing, saya selalu tak yakin.

Asalnya memang saya telah pangkas dahan-dahan mambu tu. Kalau tidak, rasanya, memang dah lama tumbang (sebab ia condong). Tapi akarnya menjalar ke sana sini dengan cepat. Ada yang timbul (menyukarkan saya memesin rumput). Bila permukaan "pavement" mula diangkatnya, saya terpaksa mengambil keputusan untuk membuangnya terus. Memang sedih dan sayang, sebab keredupan darinya amatlah saya hargai selama ini. TQ again!

ahmad humairi said...

Assalamualaikum,

Asah kapak tajam beliung,
Tebang mari kayu berduri;
Mambu umpama kemuncak payung,
Kita di bawah berteduh diri.

Kapak sekali ini,
Entah membelah entahkan tidak;
Tebang sekali ini,
Entahkan kembali entahkan tidak.

Petang hari menahan bubu,
Bubu ditahan olak mengkalang;
Mambu umpama semacam tebu,
Habis manis sepah dibuang.

Tiga petak tiga bambu,
Tiga ekor kumbang di dalam;
Letih menetak menebang mambu,
Tidur tidak menghabis malam.

Temuk said...

CIKGU HUMAIRI
Wa'alaikumussalam.

Asah kapak tajam beliung,
Tebang mari kayu berduri;
Berteduh di bawah si Mambu payung,
Terlihat akarnya gerunlah diri.

Kapak sekali ini,
Entah membelah entahkan tiada;
Tebang sekali ini,
Bukan terakhir bermain senjata.

Petang hari menahan bubu,
Bubu ditahan olak mengkalang;
Mambu tak senasib dengan si tebu,
Ditebang habis kesemua dibuang.

Tiga petak tiga bambu,
Tiga ekor kumbang di dalam;
Letih menetak-menebang mambu,
Tidur penebang siang ke malam!

insan marhaen said...

IM baru je beli golok kat RnR Sg Perak. Konon nak cantas pokok pelam depaan rumah yang merimbun hingga menyusah pelalulalang.

Dah beli tapi tak tahu bila nak mula mencantas...

Temuk said...

IM
Temuk rasa, kalau dibeli kat tempat tu, pasti itu produk orang Kuale Kangso. Kata orang,barangan besi di situ besinya jenis baik, keras dan tak mudah serpih. Juga tahan lama ketajamannya walau sering dipakai. InsyaAllah, benda dah ada, bila ada "mood" bercantaslah pokok mempelam tu.

Unknown said...

hamboi.. puitisnya bahasa..

Temuk said...

NORIZAN J
Assalam. Terima kasih sudi singgah. Yang dihidangkan, takmanapuitis bahasanya. Yang jelas, sedapmanis-nya kek SecRep yang Norizan hidangkan dalam entri terbaru tu. Ketemu lagi.

ckLah @xiiinam said...

Assalamualaikum Paman...
Nak ganti dengan pokok Musang King paman? ^-^

Maafkan ckLah kerana dah 2 bulan tak berblog...

kasihibu said...

Salam pakcik
lor nape tak buat kayu api membakar bahulu saje
tak pun buat masak masak berkayu api
kembalikan nostalgia dan dedahkan generasi ke3 aktiviti luar belakang rumah masak masak berkayu api
mesti riuh gamat suasana.

Temuk said...

ckLah@xiiinam
Wa'alaikumussalam.

Kalau ganti dengan Musang King, alamat rumah pun diangkat dek akarnya. Juga jadi masalah pula, ke mana Paman nak hantar buahnya, sebab sekarang ni dah tak jaguh lagilah bila berdepan dengan sang durian.

Temuk said...

KASIHIBU
Salam, kasihibu.

Memang ada hajat nak bakar sebagai kayu api. Kemudian bakar ikan atasnya. Malah dah siap nak beli dawai pengapit ikan tu. Tapi bila teringat pokok tu Pakcik racun, takut pula kalau-kalau asapnya boleh racuni makanan. Hasil bakaran kayu, dapatlah juga setimba besar arang yang boleh digunakan untuk menyeronokkan para orkid di pasu.