Thursday, December 2, 2010

K A P A N ..........


Cerita KAPAN ini bukan cerita 'kain'. Ia cerita 'apabila'. Saja-saja, untuk rekod sendiri.

Pertama, kisah 'kapan si Tanduk Rusa gugur ke bumi'. Jatuh ke tanah!


Seperti semasa di hutan, tuanku juga meletakkan aku di tempat tinggi. Sudah bertahun aku
tergantung kemas pada dahan pohon Kelat Laut di pinggir kamar tuanku. Beberapa hari yang lalu,
tiba-tiba ku dapati diriku terjelepok di atas tanah. Aku jatuh dari singgahsanaku rupanya!

  
Kedudukanku di bawah ini kelihatan seolah-olah menyelesakan. Tapi, dalam keadaan begini,
 pasti kelopak-kelopak daun 'kubis'ku tak akan tumbuh. Tahukah anda, bila kelopak-kelopak 'kubis'ku yang di atas
mengering, yang di bawah pula menyusul tumbuh? Aku jenis menumbuh ke bawah!
Dalam keadaan terdampar di atas tanah juga,  tak mungkin lagilah tanduk-tandukku
(di sebelah bawah, bukan di atas!) boleh ku peragakan, ku juraikan dan buai-buaikan, dengan megah.


Lihatlah sebahagian daripada daun kering pohon Kelat Laut yang padanya
aku tumpang berteduh. Daun kering itu tuanku baru saja keluarkan
dari beberapa kelopak dedaun 'kubis'ku. Aku terdengar dia berkata, longgokan dedaun garing
itu bakal dikomposkan. Mungkin tuanku cuba berjimat dalam menyediakan makanan untuk kaum
sejenis denganku dan ingin menjadi orang yang environment-friendly.
 
Lihatlah kayu bulat yang telah berkulat di tengah-tengah tubuhku itu. Itu tempat aku berpaut
bertahun-tahun. Ia telah pun mula mereput. Maka, lekanglah cangkuk besi pada kayu reput itu. Dan
jatuh 'gedebuk'lah aku ke bawah! Lihatlah juga timbunan daun kering pohon Kelat Laut
yang tersangkut pada setiap helaian kelopak daun 'kubis'ku sebelum 'disikat' keluar
oleh tuanku. Bertambah beratlah aku kerana longgokan dalaman itu!

Kesihan! Meningkatlah mantapnya uzur tangan dan belikat tuanku kerana kesungguhannya
mengembalikan aku ke singgahsana asal. Dengan menggunakan hos air lama itu, tuanku telah
dapat menaikkan aku sedikit demi sedikit, sebelum aku dicangkukkannya semula ke dahan penanti.

Alangkah leganya aku dapat menjuraikan semula tanduk-tandukku. Tanduk
Rusa apalah aku, jika tanduk-tandukku tidak kelihatan bergantungan, bagaikan tirai
penuh berkerawang. Calar balar di sana sini pada diri ini akan tak kelihatanlah bila
kelopak-kelopak daun dan tanduk-tanduk baruku muncul kemudian nanti.


Kedua, kisah 'kapan kera gagap berperiuk'. Kisah bagaikan tiba-tiba kera membondong-bondongkan periuknya.


Kira-kira bulan Julai yang lepas, aku dipaparkan di alam maya oleh tuanku. Memang dia agak marah.
Aku dianggapnya hanya makan tidur, jadi kera tanpa periuk! Memang aku mendapat malu jugalah!

  
Sebenarnya aku telah pun mempersembahkan serangkai bunga masa itu. Untuk halwa mata
tuanku. Malang, dia tak berapa tahu menghargainya. Sehinggalah ada temannya yang memberitahu
bahawa kemampuanku berbunga itu juga adalah satu petanda yang aku telah berjaya, insyaAllah,
melakukan sesuatu yang boleh dibanggakan. Sebab, suku sakatku tak semuanya berbunga!


Dalam tiga bulan setelah aku dijaja di alam maya sebagai tidak produktif, insyaAllah, aku mula
melahirkan periuk-periukku, berderetan. Tak kurang dari sepuluh 'biji' periuk telah ku
hasilkan setakat ini, dan nampaknya akan ada lagi. Tuanku mengibaratkan aku seperti cucunya, yang 'buat
tak peduli' apabila ditanya mengenai sesuatu, tetapi tergagap-gagap menjawab tanpa nokhtah apabila disergah.
Bila periukku keluar berderet, setelah dimarahi, dikatalah aku gagap berperiuk!

Lihatlah pula yang ini, periukku yang juga 'umph' dengan penutupnya, telah mula membuka.
Tuanku suka melihat periuk ini sebab nampak mysterious. Tutup terbuka kecil, isi di dalam periuk tak kelihatan!

Kalau dikira ini lagilah penuh misteri. Buncit dan bertutup. Apa pula yang terkandung
dalam kebuncitan itu? Nampaknya, periukku ini bakal bersaiz XXXL.

Ini foto periukku di peringkat awal tumbesarannya. Macam rupa tauge pun ada. Rupa kayu
hoki pun ada. Sekarang, ada banyak lagi adik beradikku di peringkat ini bergayutan di sekelilingku.

Penutup. Foto periuk kera tambahan.


Gambar periuk suku sakatku ini tuanku ambil di rumah anaknya, lama sebelum tuanku itu sendiri
membelaku. Agak unik jugalah nampaknya gambar ini. Mula-mula tuanku sendiri memang
tidak menyedari  yang susunan periuk-periuk dalam gambar itu kelihatan bagaikan susunan
aksara yang menenunkan nama Maha Pencipta.



27 comments:

Azian Elias said...

Salam Temuk,

dulu kat kampung abah banyak sangat Tanduk Rusa. Tapi kena berupah dgn orang utk nak ambiknya. KAlau kat KL mahalnya nak beli.. Nampak sejuk je mata kalau pandang pokok ni..

Hjh Noralenna Abbas said...

Kapan pula Temuk jadi si tanduk rusa dan periuk kera?

sahromnasrudin said...

as salam ziarah tuan temuk..jika tidak keberatan, saya ingin menziarahi tuan temuk...bertanya kabar dengan seseorang yang telah memberi saya sebuah ilmu..nanti saya hubungi melalui emel ya..terima kasih...

Kakzakie Purvit said...

Assalamualaikum cikgu,

Kakak ingatkan cikgu nak kisahkah apa yang membezakan tentang kain kapan dan kapan yang bermaksud bila (dlm bahasa Indonesia).

tetapi...
rupanya.....

Tanduk rusa dah naik semula dan periuk kera dan berhasil. Bila rajin itulah hasilnya. Cantik....

ahmad humairi said...

salam,

mungkin boleh digandingkan - tanduk rusa dengan periuk kera. tumpangkan periuk kera pada kubis si tanduk rusa...maka berjuntaianlah periuk-periuk seiringan alunan si tanduk rusa! depertinya di"dunia baru heliconia"

kasihibu said...

salam pakcik temuk

teringin nak menghayati tumbuh2an di ruamh pakcik

Temuk said...

Salam YAN
Kot ada lagi pokok tu di kampung, dan banyak, dan PERCUMA, bolehlah Temuk carikan lori & pemanjat. Hihihi. Betul kata Yan. Bila tengok pokok Tanduk Rusa ni sejuk rasa mata. Tanduk rusa yg kat tiang tempat orang sangkut songkok tu tak sama kesannya, kan? Ceria selalu.

Temuk said...

Salam Hjh Nora
Eh, tentulah masa menukil kisah "Kapan" tu Temuk acting jadi Tanduk Rusa dgn Kera. Kihkihkih. Di Negeri Melaka ada tak nuseri yg menjual Tanduk Rusa & Periuk Kera? Boleh ngam tak kalau digantung di rumah baru di BC? Sayang tak boleh acting jadi anak murid Cikgu Norainun semula!

Temuk said...

Salam SAHROMNASRUDIN
Terima kasih & silakan. Semoga ada masa yg sesuai.

Temuk said...

Salam KAKZAKIE

Yalah. Kalau tekun, dalam apa kerja pun insyaAllah ada hasilnya. Mengenai pokok periuk kera tu, orang kat nuseri kata memang tak boleh buat apa pun utk membolehkan si dia berperiuk! Bila sampai masanya berperiuklah dia sendiri. Tapi Temuk cuba tak dedahkan dia kpd kepanasan yg ekstrim & beri baja tahi ayam. Mungkin itu ada kesannya & mungkin juga tidak.

Temuk said...

Salam CIKGU HUMAIRI
Terutamanya entri Cikgu mengenai heliconia+tandukrusa, dan satu lagi mengenai ikan di kolam konkrit, memang saya ingat. Ya juga, cadangan 'mengamalgamasikan' pokok-pokok ni memang menarik. Hasilnya juga boleh jadi menawan, sekalipun tak bolehlah kita harapkan akan lahir zuriat baru daripada gabungan itu. InsyaAllah, bila dah buat, akan ada entri mengenainya. Selamat menyambut 1 Muharam 1432H.

Temuk said...

Salam SAYANGSAYANGIBU
Hihihi. Tau ke jalan? Alahai, malunya kita. Sebab dah pasti, yang ada ni, indah khabar dari rupa.

Hjh Noralenna Abbas said...

Salam Temuk,
Ada agaknya. Nanti saya cari.Di highway Segamat-Kuantan ada beberapa gerai orang asli menjual pokok-pokok hutan ini.Saya suka keunikan si tanduk rusa dan si periuk kera.

al-lavendari said...

Salam.

sebagaimana biasa, entri abang mengajak minda saya berfikir apakah maksud dan pengajaran yang ingin di sampaikan. terlalu banyak sebenarnya yang boleh didapati dari kiasan ini.

saya terbaca sedikit masa dulu, ada saintis barat baru menjumpai (discover) periuk kera, sedangkan saya 50 tahun dahulu telah pun beramah mesra dengannya.

al-lavendari said...

bersambung komen ..

dalam cerita yang berkaitan, saya ada melekatkan tanduk rusa di dinding rumah saya sebagai perhiasan. entah bagaimana dibuat oleh anak saya,ia terjatuh menimpa betisnya dan darah memancut2 keluar. nasib baik kena betis.

saya bawa ke klinik berhampiran. "kenapa" doktor bertanya. "kena tanduk rusa" jawab saya sejujurnya. doktor itu kehairana seraya bertanya "awak duduk mana?"

Aida Ali said...

Info dan gambar yang sangat bagus sekali pak

Temuk said...

HJH NORA

Yg unik memang mengujakan. Rakan taulan pun ada keunikan masing-masing, dan kita cari mereka, sekalipun telah lama tiada khabar berita. Saya amat menyanjung teman-teman yg unik hatibudinya, tidak tahu erti terkilan atau amarah, pun mereka mungkin disakiti.

Hope you will soon find the unique and adoreable tanduk rusa & periuk kera that you are looking for. Salam ceria.

Temuk said...

Salam AL-LAVENDARI

Yg kita sayangi, kita tahtakan... dan terus tahtakan. Yg ditahtakan wajarlah tahu menghargai kasih sayang. Dlm hidup juga, wajarlah kita selalu bersabar dari sifat amarah. Yg kita marahi kerana kelemahannya, insyaAllah satu hari, mampu menggapai kejayaan yang amat cemerlang.

Alahai, ngerinya cerita anak al-lavendari itu. Apa lagi bila yang menimpanya menyebabkan pendarahan serius. Mujurlah tidak berpanjangan mudaratnya. Kot ada lagi perhiasan itu, kenalah skrew dgn betul-betul mantap pada dinding.

Saya selalu beranggapan (mungkin salah!), cara doktor berfikir selalunya amat lurus, betul bendul. Ceria selalu!

Temuk said...

Salam CIKGU AIDA

Terima kasih, Cikgu. Masa ke MAHA ada tak jumpa di salah satu dewan, satu-satunya gerai yg pamer/jual 100% pokok periuk kera? Pemiliknya, orang Melayu, ada nuseri di Ampang. Banyak varietinya. Tapi nampaknya tak ada yg mempamer & menjual tanduk rusa.

al-lavendari said...

salam maal hijrah .. semoga abang terus kekal cemerlang.

jemputlah berpantun di laman puisi saya .. ia-itu blog lagi satu yang baru diaktifkan semula spt alamat di bawah.

http://puecorgxret.blogspot.com/

Aida Ali said...

Salam Maal Hijrah tn. Temuk. Saya tak dapat pergi banyak tempat kat MAHA tu. Lain kalilah nampaknya.

Temuk said...

Salam al-lavendari

Semoga 1432H menjadi tahun penuh keberkatan & keredhaan dari Allah utk keluarga, sdra mara & sahabat handai kita. Insya-Allah. Terima kasih di atas jemputan ke laman baru. Insya-Allah akan berkunjung nanti.

Temuk said...

Cikgu Aida
Semoga 1432H menjadi tahun yg penuh dgn keberkatan & keredhaan Allah utk kita, famili, kaum kerabat, serta sahabat handai.

Insya-Allah 2 tahun lagi boleh berkunjung ke Serdang semula utk saksikan MAHA, yg kemungkinannya lebih besar lagi pula skop pamerannya. Awal-awal kena tempah 2 hari suntuk utk itu.

Abi Al-Baihaqi (RKA) said...

Salam Temuk, semoga sihat dan ceria selalu...

Sampai KAPAN kah gerangan...?
Waktu yang masih tersisa
Semuanya menggeleng
Semuanya terdiam
Semuanya menjawab tak mengerti...
Yang terbaik hanyalah
Segeralah bersujud
Mumpung kita masih diberi waktu...

(Masih ada Waktu - Ebiet G Adi)

Temuk said...

Salam Abi Al-Baihaqi

Satu peringatan yang amat baik sekali utk kita semua. Terima kasih.

Kapan luputnya waktu tersisa, tak mungkin kita ketahui. Sememamngnya, mumpung ada waktu yang bila-bila saja bernoktah, yang terbaik bagi kita pastilah 'sujud' kepada-Nya. Andai dilebarkan maksudnya, wajarlah kita berterusan meng'abdikan diri pada DIA, berterusan menuruti perintah DIA, melalui jalan-jalan-Nya yang amat pelbagai. Insya-Allah.

yanmaneee said...

cheap jordans
polo ralph lauren
balenciaga shoes
supreme
golden goose slide
hermes belt
coach bags sale
vans shoes
yeezy
supreme clothing

yanmaneee said...

yeezy boost
golden goose
steph curry shoes
jordans shoes
hermes belt
jordan shoes
supreme new york
kyrie irving shoes
curry 6 shoes
air jordan